Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Allah menurunkan ilmu Matematik kepada manusia tentu sahaja dengan rahsia dan hikmah yang tidak manusia ketahui. Pasti terdapat pelbagai rahsia di sebalik kira-kira Matematik yang tidak pernah kita fikirkan. Tidak mungkin kegunaan Matematik hanya untuk kegunaan duniawi seperti pembinaan bangunan-bangunan canggih, penciptaan jentera-jentera dan kenderaan moden, alatan telekomunikasi atau untuk teori-teori pengajian peringkat tinggi.

Disiplin Matematik jika diperhatikan sehalus-halusnya adalah didikan Allah untuk pembangunan jiwa manusia. Memahami teori-teori matematik tidak akan sempurna jika tanpa mengetahui asas bagi teori-teori itu - yang mana asal-usul teori-teori itu adalah dari kejadian-kejadian alam (Quadratic, Motions Along a Straight Line, Earth as a Sphere), bentuk-bentuk ciptaan Allah (triangles, circles, quadrilaterals, polygons), statistik dan geometrik. Hampir kesemua cabang ilmu sains seperti Fizik, Kimia dan Biologi memerlukan penguasaan Matematik. Menguasai Matematik pula tidak akan sempurna jika tanpa kesabaran dan keteguhan jiwa kepada Allah. Tidak boleh gopoh-gapah di dalam Matematik kerana gopoh-gapah itu mendatangkan kesilapan serta kerugian dan gopoh-gapah adalah sifat yang amat disukai syaitan.
Kesabaran dalam memahami teori/formula Matematik, kesabaran menulis jalan pengiraan yang berjela-jela, kesabaran mengira satu-persatu tanpa gopoh menggunakan kalkulator, kesabaran memperbaiki kesilapan/ careless mistake dan kesabaran menerima hakikat bahawa kita masih belum faham dan perlu berusaha lagi dengan lebih sabar adalah suatu latihan kekuatan jiwa yang unik. Ia adalah suatu bentuk didikan dari Allah untuk menghasilkan seorang muslim yang berilmu dan beriman - genius bertaqwa.
Matematik adalah bukti bahawa teknologi Allah lebih canggih dan hebat dari teknologi rekaan manusia yang sering melemahkan. Teknologi akal atau minda manusia ternyata tidak dapat ditandingi oleh kalkulator walau bagaimana saintifik pun ia. Kalau kena caranya, tentu saja tanpa menggunakan kalkulator kita dapat mengira dengan cepat dan tepat. Caranya, selalu-selalulah melatih kecergasan akal dengan membuat congak Matematik sekurang-kurangnya sepuluh minit sehari, di waktu dinihari ketika akal masih segar. Sesungguhnya Allah tak pernah mensia-siakan usaha hamba-hamba-Nya.
Semoga kita menjadi genius bertaqwa pilihan Allah. Amin Ya Rabbal Aalamiin.


