Friday, March 26, 2010

Matematik - Untuk Muslim!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kita bangun dinihari, jam 4.30 pagi. Kita mandi lebih kurang 15 minit. Kita solat tahajjud 2 rakaat. Kita solat hajat 2 rakaat. Kita solat witir 3 rakaat 2 salam. Setiap hari, kita solat 5 waktu dengan bilangan rakaat masing-masing.

Dalam menunaikan ibadah puasa, wajib mahupun sunat.. kita bersahur sebelum masuknya waktu subuh (lebih kurang 5.50 pagi) dan berbuka pada waktu maghrib (lebih kurang 7.20 mlm).

Semua yang di atas adalah sebahagian contoh matematik mudah untuk Muslim. Yang setiap hari dicongak-congak, dikira-kira dan diamalkan. Bahkan hari ini, ramai muslim yang hanya mencongak dan mengira setakat matematik mudah harian ini. Lebih malang lagi, ada yang meninggalkannya terus.

Ramai.. umat Islam hari ini sangat ramai; tetapi ramainya umat Islam seperti buih-buih di lautan - yang sangat lemah dan mudah pecah. Terumbang-ambing dilambung ombak, dihempaskan ke pantai dan hilang ditiup bayu. Alangkah hebatnya jika umat Islam yang ramai itu gagah dan kuat. Gagah dan kuat - dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Adakah Al-Quran dan As-Sunnah hanya setakat ilmu-ilmu tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka? Tidak, bahkan lebih lagi. Seluruh ilmu di dunia ini adalah milik Allah.

Ilmu-ilmu matematik dan sains - secara nyata membuktikan kehaibatan Allah sekaligus menjelaskan betapa kerdilnya kita di sisi Allah. Semakin banyak yang kita pelajari, semakin banyak pula yang kita tidak tahu.

Matematik bukan sekadar mengira dan logik. Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia yang tentu saja tidak dapat diterjemahkan oleh akal fikiran manusia yang terbatas. Tetapi mempelajari matematik juga boleh menjadi wadah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah jika kita merenungi angka, formula dan rumusnya lalu mengaitkan dengan Pencipta sekaligus Pemilik Ilmu Matematik iaitu Allah Yang Maha Agung.

Sebagai contohnya pada angka satu, Allah hanya Satu - Tiada Tuhan Melainkan Allah. 'Infinity' pula adalah bukti luasnya ilmu Allah sehinggakan ada angka yang tidak terjangkau di akal kita walau setinggi mana pun ilmu yang kita miliki. 'Infinity' juga memberi peringatan kepada kita, bahawa syurga dan Keindahan Wajah Allah (nikmat dan kebahagiaan teragung yang dicita-citakan seorang hamba) adalah tak terjangkau oleh akal manusia yang serba terbatas. 'Infinity' hanya milik Allah, hanya Allah yang Maha Mengetahui..

Alangkah agungnya Allah! Alangkah luas dan tinggi ilmu Allah! Subhanallah wa bihamdih...

Matematik adalah 'kismis minda' dari Allah. Ia adalah batu pengasah yang menajamkan akal. Jika matematik dipelajari dengan menghubungkan hati kepada Allah, akan terhasillah genius bertaqwa yang takutkan Allah, menguasai ilmu demi memajukan ummah secara fizikal dan ruhani.


Tetapi realiti pada hari ini sama sekali tidak begitu. Ramai pelajar yang menguasai ilmu matematik khususnya dan sains umumnya menjadi sekular, 'examination oriented', sosial, tak kenal Allah, merasa ta'ajub dengan kehebatan ilmu yang dimiliki, menguasai teknologi tetapi bukan untuk Islam, tidak mahu bekerja untuk Islam malah memperlecehkan Islam.

Kenapa jadi begini? Kerana ilmu matematik dan sains telah disekularkan oleh kuffar! Mana ada silibus dan buku teks yang boleh mendekatkan hati para pelajar dengan Allah? Mana ada silibus matematik dan sains yang menanamkan ketauhidan di dalam jiwa para penuntutnya? Tentu sekali tidak ada kerana kuffarlah yang menyediakan silibus dan buku teks dan menjadi bahan rujukan kita - umat buih!

Wahai generasiku, mari kita bersihkan kembali ilmu-ilmu Allah ini. Mari kita gunakan matematik sebagai momentum yang meningkatkan pengabdian kita kepada Yang Esa. Mari kita menguasainya dan kita bantu ilmu-ilmu ini kembali ke pangkuan penguasaan Islam! Allahu akbar!

No comments:

Post a Comment